Meniti Jalan Kebenaran Menuju Kehidupan yang Diberkati

Visi dan Misi Millah Abraham

Setiap gerakan yang umurnya bertahan lebih daripada satu generasi sentiasa berpaksikan kepada sesuatu yang lebih besar daripada sekadar menjalankan program, projek atau aktiviti. Mereka mempunyai visi yang jelas untuk memandu hala tuju gerakan dan menjelaskan mengapa perjalanan organisasi perlu diteruskan meskipun melalui onak duri. 

Millah Abraham, dalam kefahaman kami sebagai komuniti mukmin, bukanlah sekadar nama. Ia adalah perlanjutan kepada satu jalan yang, kami yakini sebagai satu jalan yang telah ditempuh oleh para Nabi dan Rasul Allah sejak zaman Abraham. Inilah jalan untuk mengembalikan manusia kepada fitrahnya sebagai hamba yang tunduk hanya kepada satu tuan iaitu Allah, Sang Pencipta, Tuhan Semesta Alam.

Visi: Kembali kepada Fitrah

Visi yang kami yakini bukanlah sesuatu yang asing didengar tetapi ia memberi makna yang begitu mendalam. Visi Millah Abraham adalah umat manusia kembali kepada fitrah kehidupan yang sebenar.

Fitrah sebenar kehidupan manusia adalah menjadi hamba yang tunduk kepada sistem hukum Allah, bukannya kepada sistem yang lahir daripada kepentingan sekelompok manusia (bangsa-bangsa), bukan kepada ideologi yang memecah-belah, dan bukan kepada kekuasaan yang tidak berpandu kepada nilai-nilai kebenaran universal.

Apabila fitrah itu terjaga, kehidupan manusia akan penuh dengan keberkatan. Keadilan hukum, keseimbangan ekonomi, dan kedamaian dalam kehidupan sosial dapat dicapai. Firman Allah di dalam Al-Quran surah Al-A’rāf ayat 96 (7: 96) menjadi salah satu landasan kepada visi ini iaitu negeri yang penduduknya beriman dan bertakwa akan dilimpahi keberkatan dari langit dan bumi.

Misi: Membacakan, Menyucikan, dan Mengajarkan

Dalam keyakinan komuniti Millah Abraham, misi gerakan ini berpandukan kepada tiga tugas yang disebutkan dalam Al-Quran surah Al-Jumu‘ah ayat 2 (62: 2) iaitu, pertama, membacakan ayat-ayat-Nya, kedua, menyucikan, dan ketiga, mengajarkan kitab dan hikmah. Ketiga-tiganya adalah satu kesatuan yang saling menyokong.

Tugas Pertama: Membacakan Ayat-ayat-Nya

Tugas pertama adalah membacakan ayat-ayat Allah kepada manusia, baik ayat-ayat yang tertulis dalam kitab suci mahupun tanda-tanda Allah yang terhampar di alam semesta. Bagi kami, seruan itu bukan sekadar pembacaan teks, tetapi satu tugas untuk menyedarkan kembali manusia untuk benar-benar mengenali siapakah Tuhan yang mereka imani. Manusia juga perlu sedar bahawa penghambaan yang sebenar hanyalah layak diberikan kepada Allah, Tuhan Semesta Alam dan bukannya kepada ideologi bangsa-bangsa atau sistem hukum yang lahir dari kepentingan sekelompok manusia semata-mata.
Aktiviti ‘pembacaan’ ini dilakukan, dalam ajaran komuniti ini, dengan cara yang persuasif, menggunakan hujah yang rasional dan ilmiah, tanpa paksaan dan tanpa balasan berbentuk material(QS. An-Nahl [16]: ayat 125). Penerimaan atau penolakan terhadap pembacaan ini adalah urusan hati masing-masing, dan hidayah adalah hak prerogatif Allah semata-mata.

Tugas Kedua: Menyucikan (Tazkiyah)

Tugas kedua adalah tazkiyah, iaitu penyucian diri. Misi ini tidak berhenti pada pembacaan ayat. Ia dilanjutkan kepada pembinaan iman: membersihkan diri daripada segala bentuk kemusyrikan, kepentingan diri, dan kepatuhan kepada tuan-tuan selain Allah. Bagi komuniti Millah Abraham, proses ini dianggap sebagai syarat agar seorang mukmin benar-benar dapat mengabdi dengan bersih dan benar.

Dalam kefahaman kami, tazkiyah dilakukan melalui pendidikan yang memayungi, rendah hati, dan penuh cinta kasih (ruhamā’) sebagaimana dinyatakan dalam surah Āli ‘Imrān ayat 159 (3: 159). Seorang mukmin yang telah disucikan bertindak atas dasar ilmu dan kefahaman, bukan sekadar mengikuti tradisi secara membuta tuli atau ikut-ikutan. Perubahan sejati harus berakar daripada dalam diri, bukan dipaksakan dari luar.

Tugas Ketiga: Mengajarkan Kitab dan Hikmah

Tugas ketiga adalah mengajarkan kitab dan hikmah, yakni ilmu kepimpinan dan kebijaksanaan. Dalam pemahaman kami, unsur ‘kitab’ merujuk pada sistem hukum Allah yang terkandung di dalam Taurat, Injil, dan Al-Quran, sementara unsur ‘hikmah’ pula adalah kemahiran memimpin dan mengambil keputusan yang adil berdasarkan wahyu. Mereka yang menerima diajarkan dua perkara ini digilap dan disusun dalam barisan mukmin yang bersedia menjadi saksi kebenaran di tengah umat manusia (QS. Al-Jumu‘ah [62]: 2; Al-Hājj [22]: 78). Hasilnya, terwujudlah Khalifah fil Ardh, iaitu tatanan kehidupan yang damai, adil, dan sejahtera sebagai tempat manusia dapat hidup selari dengan fitrah hidupnya.

Pendekatan: Bertahap, Damai dan Berlandaskan Nilai

Salah satu ciri khas yang ditekankan dalam ajaran ini adalah cara menempuh jalan kebenaran yang diyakini. Komuniti Millah Abraham, dalam kefahaman internal kami, meyakini bahawa perubahan sebenar tidak mampu dicapai dengan jalan kekerasan atau pemberontakan terhadap pemerintahan sedia ada.

Perjuangan dilakukan secara bertahap daripada pembinaan iman, hijrah, dan jihad hingga tegaknya tatanan yang dikehendaki Allah pada waktu yang telah Dia tetapkan. Prinsip ini bukanlah hanya strategi pragmatis semata-mata, tetapi ia adalah sebahagian daripada sunnatullāh hukum pergiliran peradaban yang berlaku di sepanjang sejarah ketamadunan manusia.

Sejarah para Nabi dan Rasul Allah seperti —Abraham (Ibrahim) a.s, Musa a.s, Isa a.s, dan Muhammad s.a.w menjadi bukti bahawa jalan Millah Abraham ini pernah membuahkan hasil apabila ditempuhi dengan benar. Bagi kami yang mengikuti Millah Abraham di zaman ini, perkara yang sama akan berlaku iaitu pohon Allah yang sudah lama layu kini akan kembali berbuah.

Relevansi bagi Zaman Ini

Kami di Millah Abraham menyedari dan memahami bahawa pada waktu ini berlaku begitu banyak cabaran dalam kehidupan masyarakat. Kesenjangan sosial, krisis kepercayaan pada institusi serta kehilangan hala tuju kerohanian masyarakat adalah petanda yang jelas yang berpunca daripada satu akar masalah iaitu hidup manusia telah jauh menyimpang daripada fitrahnya.

Visi dan misi yang kami pikul ini bukan semata-mata untuk menyelamatkan masyarakat kita sahaja. Ia adalah jawapan kepada persoalan kemanusiaan yang lebih luas, yang dimulakan di Nusantara yang kemudiannya akan disebar ke seluruh dunia.

Kabar gembira yang kami bawa adalah, jalan ini terbuka bagi siapa sahaja yang sungguh-sungguh mencarinya. Peringatan kami kepada anda, sekiranya anda memilih untuk menunda langkah untuk kembali kepada fitrah kehidupan berdasarkan perintah Yang Maha Pencipta, ia pasti datang dengan akibat baik kepada kehidupan peribadi mahupun kehidupan komuniti anda.

Tulisan ini disusun berdasarkan ajaran yang diyakini dan difahami oleh komuniti Millah Abraham. Maklumat ini disediakan bertujuan untuk kefahaman semata-mata. Setiap keputusan adalah atas kapasiti peribadi.