Empat Teras yang Menyokong Satu Jalan

Dasar-Dasar Ajaran Millah Abraham

Di tengah hiruk pikuk kehidupan bangsa-bangsa moden yang menawarkan pelbagai sistem kehidupan, ada satu pertanyaan dasar yang tak pernah luput dek zaman iaitu “Apakah jalan hidup yang sebenar bagi manusia?“ Ini bukanlah pertanyaan bersifat ilmiah semata-mata, tetapi ia adalah satu pertanyaan yang menyentuh tentang cara seseorang berfikir, bersikap, dan menjalani kehidupan sehariannya.

Bagi komuniti Millah Abraham, jawapan terhadap soalan di atas lahir daripada   satu prinsip yang pernah diajarkan oleh para Nabi dan Rasul Allah sejak zaman Nabi Ibrahim (Abraham) yang mengajarkan prinsip tunduk patuh hanya kepada Din Allah, sistem hukum ciptaan Sang Pencipta yang bersifat universal dan tidak berubah ataupun berganti merentas zaman.

Keimanan kepada Sang Pencipta: Titik Tolak kepada Segalanya

Ajaran Millah Abraham, sebagaimana diimani oleh para penganutnya, meletakkan keimanan sebagai asas yang menentukan  segala perbuatan.. Perlu ditegaskan di sini bahawa iman yang dimaksudkan bukanlah sekadar pengakuan lisan atau keyakinan bersifat abstrak mempercayai bahawa Allah itu wujud. Ini kerana di dalam kitab Al-Quran sudah tercatat bahawa orang kafir pun turut mengakui Allah sebagai Pencipta langit dan bumi (QS Az-Zumar [39]: 38).

Iman, dalam ajaran Millah Abraham, adalah komitmen kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Allah, Tuhan Semesta Alam. Iman adalah kesedaran dan sikap seseorang yang tahu kepada siapa dia taat, mengapa dia taat, dan bagaimana cara membuktikan ketaatan itu dalam kehidupan sehari-hari. Kalimat tauhid Lā ilāha illallāh yang berarti tidak ada tuan yang berhak ditaati kehendak dan perintahnya kecuali Allah difahami sepenuhnya, bukan sekadar dihafal. Kalimat ini adalah satu pernyataan bahawa seseorang itu berlepas diri daripada apa-apa kuasa dalam apa jua bentuk yang  bertentangan dengan kehendak Sang Pencipta.

Semua Nabi dan Rasul Allah, daripada Nabi Adam a.s hingga Nabi Muhammad s.a.w, membawa dasar seruan yang sama iaitu kembalilah kepada pengabdian tunggal kepada Allah, dan tinggalkanlah segala bentuk penghambaan kepada tuan-tuan selain-Nya.

Pengabdian: Lebih daripada Sekadar Ritual Penyembahan

Teras kedua adalah pengabdian, atau dalam bahasa Al-Quran disebut ibadah. Perkataan ini berasal daripada kata akar ‘abada yang bermaksud mengabdi dan menghambakan diri. Bukan menyembah dalam konteks ritual semata-mata.

Bagi komuniti Millah Abraham, penyempitan makna ibadah yang melihat ritual seperti solat, puasa, dan haji sekadar sebagai aktiviti ritual telah mengaburkan pengertian dan tujuan sebenar ibadah yang dilakukan. Sebagai contoh, ibadah solat, sekiranya didirikan dengan cara yang benar, seharusnya dapat mencegah daripada berlakunya perbuatan keji dan mungkar (QS. Al-‘Ankabūt [29]: 45). Ia bukanlah satu bentuk perbuatan simbolik secara rutin semata-mata, yang tidak memberi kesan atau perubahan kepada akhlak, sikap, karakter peribadi ataupun komuniti. Menurut ajaran Millah Abraham, pengabdian yang utuh mencakupi kesediaan berkorban harta dan diri demi menzahirkan perkara yang menjadi kehendak Allah dalam kehidupan sebenar. Ibadah ritual adalah latihan dan pendaya, bukan sebagai tujuan akhir.

Hukum: Sistem yang Fitrah bagi Manusia

Teras ketiga adalah hukum atau syariat. Menurut kefahaman Millah Abraham, hukum Allah bukannya dibina hanya untuk memenuhi keperluan sesuatu zaman sahaja. Hukum Allah adalah lestari. Ia adalah sistem yang fitrah, universal, dan berlaku ke atas seluruh umat manusia tanpa memandang suku, bangsa, atau warna kulit.

Komuniti Millah Abraham memahami bahawa “Sepuluh Perintah Allah” yang terkandung dalam Kitab Keluaran dan Ulangan, yang kemudiannya diperkukuhkan kembali perlaksanaanya sebagai sebuah syariat dalam kitab Injil dan Al-Quran, merupakan rangkuman ajaran hukum Millah Abraham. Empat hukum pertama adalah berkaitan hubungan manusia dengan Allah (hablum minallāh), manakala enam hukum berikutnya adalah mengenai hubungan sesama manusia (hablum minan-nās).

Bagi kami, apabila manusia memilih untuk tidak melaksanakan hukum Allah, ia akan membawa kesan kepada kehidupan manusia secara keseluruhan. Hukum yang dibuat semata-mata atas dasar kesepakatan manusia, tanpa berpandu kepada wahyu Allah, adalah hukum yang rapuh kerana terbuka untuk berlakunya ketidakadilan, kerana ia lahir daripada kepentingan dan keterbatasan manusia itu sendiri dalam membuat penilaian.

Kekuasaan: Amanah, Bukan Sasaran

Teras keempat adalah kekuasaan atau khilafah. Dalam ajaran Millah Abraham, kekuasaan pemerintahan adalah hak prerogatif Allah yang diamanahkan kepada orang-orang beriman. Ia bukanlah satu sasaran (goal) yang dikejar sehingga manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkannya, apatah lagi cara melakukan tindakan keganasan (terrorisme).

Ajaran Millah Abraham menetapkan dengan tegas bahawa seorang mukmin, pengikut Millah Abraham, tidak diizinkan melakukan pemberontakan atau keganasan terhadap mana-mana kerajaan atau pemimpin yang sedang berkuasa tanpa mengira ideologi kerajaan, ideologi pemimpin atau ideologi bangsa mereka. Semua pemerintahan yang ada di dunia ini, menurut kefahaman Millah Abraham berjalan sesuai dengan hukum pergiliran yang telah Allah tetapkan (sunnatullāh). Menjadi kewajiban bagi seseorang mukmin untuk melalui proses perjuangan yang benar, bukan merebut kekuasaan dengan jalan pintas.

Tujuan akhir Millah Abaraham dalam konteks kekuasaan adalah tegaknya Kerajaan Allah, sebuah wilayah kehidupan di mana hukum Allah dapat dijalankan secara menyeluruh, dan kehidupan manusia menjadi damai, adil, dan sejahtera.

Satu Benang Merah

Keempat-empat teras ini iaitu keimanan, pengabdian, hukum, dan kekuasaan, berdasarkan iman komuniti Millah Abraham adalah elemen yang tidak berdiri secara berasingan. Ia adalah satu sistem yang saling menyokong antara satu sama lain. Iman yang benar akan melahirkan pengabdian yang tulus. Pengabdian yang tulus akan mendorong kepada penegakan hukum yang adil. Hukum yang adil hanya boleh wujud dalam suatu tatanan kekuasaan yang berpacu pada kehendak Allah.

Satu khabar gembira daripada kami di Millah Abraham kepada dunia adalah, berdasarkan sejarah peradaban dunia, terbukti bahawa jalan Millah Abraham bukanlah sebuah utopia. Ia pernah terwujud, dan dalam keyakinan kami, ia akan kembali muncul bagi siapa sahaja yang bersungguh-sungguh meniti jalannya.

Kami juga ingin memberi peringatan. Sekiranya berlaku pelanggaran nilai kepada salah satu teras di atas, ia akan memberi akibat bukan hanya kepada individu yang melakukan pelanggaran tetapi juga kepada tata cara hidup masyarakat yang lebih luas.

Maklumat ini disediakan sebagai bahan penjelasan tentang ajaran yang diyakini oleh komuniti Millah Abraham. Setiap keputusan bersifat personal.