Memahami Istilah ‘Din’ Dan ‘Din Al-Islam’
Sebelum kita berbicara panjang tentang Din Al-Islam, mari kita bahaskan dahulu pengertian istilah ‘din’ agar dapat difahami bersama.
Hal ini penting kerana apabila kita salah memahami istilah ‘din’, ia akan memberi kesan terhadap cara seseorang individu mendefinisikan istilah ‘Din Al-Islam’, seterusnya memberi impak terhadap cara mengaplikasikan ajaran Islam dalam kehidupannya seperti dalam aspek peribadi, sosial, berpolitik dan bernegara.
Betapa pentingnya perkatan ‘din’ ini sehingga surah Al-Quran menyatakan Allah adalah penguasa kepada din dalam surah Al-Fatihah ayat keempat;
مٰلِكِ يَوْمِ الدِّيْنِۗ (٤)
Secara bahasa, perkataan dīn biasanya diterjemah kepada ‘agama’.
Jika kita kaji, perkataan a-gama yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit membawa erti ‘sesuatu yang tidak kacau’.
Ini tidak dapat memberi gambaran sebenar tentang istilah din secara tepat.
Dalam konteks dan tatabahasa Sanskrit, agama merupakan satu daripada tiga elemen sistem kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa, iaitu ‘igama’, ‘agama’, dan ‘ugama’.
‘Igama’ adalah hubungan antara rakyat dan Tuhan, ‘agama’ pula merujuk kepada hubungan antara rakyat dan raja, manakala ‘ugama’ melambangkan hubungan antara rakyat sesama rakyat.
Dalam bahasa Inggeris, agama diterjemahkan sebagai ‘religion’ dari bahasa Yunani; ‘religio’ yang berasal daripada akar kata ‘re-ligare’, bermaksud “mengikat kembali.”
Ertinya, secara falsafah religion adalah cara bagi manusia yang ingin mengikat dirinya kepada Tuhan.
Maka tidak hairanlah kita dapat lihat pelbagai model agama dalam dunia hari ini. Setiap satunya disesuaikan dengan budaya, tradisi dan keselesaan tempatan.
Terdapat sekurang-kurangnya empat ribu agama yang tercatat di seluruh dunia (World Popular Review, 2022).
Maka tidak hairanlah kadang-kadang timbul kekeliruan, perbalahan dan perbandingan antara penganut agama tentang cara beribadat yang ‘paling betul’.
Bahkan ada kalanya, timbul perbalahan dalam kalangan penganut agama yang sama kerana walapun agamanya sama tetapi di model perlaksanaannya berbeza.
Kini kita sudah faham kenapa perkataan ‘agama’ tidak mampu memberi makna sebenar kepada perkataan ‘din’. Mari kita lihat sumber lain pula.
Dalam bahasa Arab, perkataan ‘dīn’ berasal daripada kata ‘dāna-yadīnu-dīnan’, yang bermaksud berserah diri, mentaati (seseorang), balasan dan ganjaran, ketaatan, kepatuhan, kekuasaan, dan pemaksaan.
Tafsiran lain menyebut dīn bermakna balasan (*al-jazā’*), serta kepatuhan dan ketundukan yang membawa kepada ganjaran.
Dalam bahasa Semitik, perkataan ‘dīn’ membawa maksud undang-undang atau hukum.
Al-Quran pula menjelaskan perkataan ‘din’ meliputi ketiga-tiga konteks sistem kepercayaan ‘igama’ ‘agama’ dan ‘ugama’.
Oleh itu dīn juga boleh ditafsirkan dalam tiga konteks iaitu
- Kehormatan terhadap pemerintah, negara, dan kekuasaan.
- Ketundukan, kepatuhan, pengabdian, dan penyerahan diri.
- Penghakiman dan pemberian hukuman atas perbuatan seseorang.
Dengan ini barulah kita faham kenapa istilah ‘yaumid-dīn’di surah Al-Fatihah di atas diterjemahkan sebagai perhitungan atau hari pembalasan.
Daripada perkataan dīn, terbentuklah perkatan ‘madīnah’, yang membawa maksud tempat berlakunya ketaatan atau tempat tegaknya undang-undang Allah.
Sejarah menunjukkan perjuangan rasul dan para sahabatnya menentang para musuh Allah adalah semata-mata untuk menegakkan Din Al-Islam.
Kota Yathrib dinamakan Madinah kerana di situlah ditegakkan ketaatan kepada hukum Allah melalui kekuasaan politik di bawah pimpinan Rasulullah, Nabi Muhammad s.a.w sebagai Khalīfatullāh (pewaris dan pemegang mandat kekuasaan Allah) di muka bumi.
Istilah lain yang digunakan dalam Al-Quran sebagai alternatif perkataan dīn ialah ‘millah’ dan ‘syarī’at’.
قُلْ اِنَّنِيْ هَدٰىنِيْ رَبِّيْٓ اِلٰى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيْمٍ ەۚ دِيْنًا قِيَمًا مِّلَّةَ اِبْرٰهِيْمَ حَنِيْفًاۚ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ (١٦١)
161. Katakanlah (Nabi Muhammad), “Sesungguhnya Tuhanku telah membimbingku ke jalan yang lurus, agama yang benar, agama Ibrahim yang lurus, dan dia (Ibrahim) tidak termasuk orang-orang musyrik.”
(Al-An’am/6:161)
شَرَعَ لَكُمْ مِّنَ الدِّيْنِ مَا وَصّٰى بِهٖ نُوْحًا وَّالَّذِيْٓ اَوْحَيْنَآ اِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهٖٓ اِبْرٰهِيْمَ وَمُوْسٰى وَعِيْسٰٓى اَنْ اَقِيْمُوا الدِّيْنَ وَلَا تَتَفَرَّقُوْا فِيْهِۗ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِيْنَ مَا تَدْعُوْهُمْ اِلَيْهِۗ اَللّٰهُ يَجْتَبِيْٓ اِلَيْهِ مَنْ يَّشَاۤءُ وَيَهْدِيْٓ اِلَيْهِ مَنْ يُّنِيْبُۗ (١٣)
13. Dia (Allah) telah mensyariatkan bagi kamu agama yang Dia wasiatkan (juga) kepada Nuh, yang telah Kami wahyukan kepadamu (Nabi Muhammad), dan yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa, dan Isa yaitu: tegakkanlah agama (keimanan dan ketakwaan) dan janganlah kamu berpecah-belah di dalamnya. Sangat berat bagi orang-orang musyrik (untuk mengikuti) agama yang kamu serukan kepada mereka. Allah memilih orang yang Dia kehendaki pada (agama)-Nya dan memberi petunjuk pada (agama)-Nya bagi orang yang kembali (kepada-Nya).
(Asy-Syura/42:13)
Perkataan ‘millah’ berasal daripada bahasa Aram merujuk kepada ajaran yang disyariatkan oleh Allah kepada umat manusia melalui para Nabi dan Rasul-Nya agar manusia dapat berhubung dengan-Nya.
Dalam bahasa Turki, istilah ‘millet’ digunakan untuk merujuk kepada agama-agama yang wujud di wilayah jelajah takluknya. Bahkan, dalam bahasa Turki dan Parsi, ‘millet’ juta merujuk kepada bangsa atau rakyat.
Kata syarī’at pula berasal daripada kata dasar ‘syara’a’, yang bermaksud datang, sumber air yang mengalir, serta jalan menuju mata air bagi mendapatkan kebahagiaan dan keselamatan.
Kata terbitan ‘al-syarī’at’, /al-syar’u’, atau ‘al-syir’ah’ pula merujuk kepada sesuatu yang ditentukan oleh Tuhan bagi hamba-Nya.
Secara istilah atau konteks, syarī’at membawa maksud yang sama dengan dīn kerana kedua-duanya menyerupai mata air, menjadi sumber kehidupan.
Syarī’at ialah ketentuan din yang mengatur tingkah laku, ucapan, dan kepercayaan manusia.
Dengan kata lain, syarī’at ialah ketetapan hukum yang ditentukan oleh Allah melalui para Rasul-Nya tentang aturan hidup di dunia untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Secara teknikal, syarī’at adalah satu set hukum ilahi yang mengatur hubungan manusia dengan Allah, hubungan sesama manusia dalam kehidupan sosial, serta hubungan manusia dengan alam sekitar.
Kesimpulannya, makna millah, dīn, dan syarī’at adalah sama dan saling berkait.
Daripada penerangan ringkas ini, dapat disimpulkan bahawa makna utama bagi kata din, millah, dan syarī’at adalah hukum yang perlu dipatuhi dan aturan Allah yang wajib ditaati.
Terdapat hubungan timbal balik antara Allah sebagai Penguasa yang memiliki autoriti, perintah, kekuasaan, dan hukum, dengan manusia sebagai hamba untuk menyerahkan diri, tunduk, dan patuh kepada-Nya.
Bukti wujudnya hubungan antara Allah dengan manusia sebagai hamba dibuktikan dengan perlaksanaan undang-undang atau hukum Allah dalam kehidupan seharian manusia.
Din Al-Islam menuntut manusia untuk tunduk patuh dan berserah diri hanya kepada Allah, Tuan Semesta Alam.
Untuk lebih memahami kaitan tiga istilah ini, boleh merujuk kepada surah An-Nisā` [4] ayat 125, Al-Hājj [22] ayat 78, Yūsuf [12] ayat 38, Al-Mā`idah [5] ayat 48, Al-Jātsiyah [45] ayat 18.