Isu Utama: Syirik
Apabila disebut perkataan ‘syirik’ atau ‘musyrik’ kebiasaanya kita akan memikirkan tindakan bersifat tahyul seperti meminta bantuan entiti seperti jin dan hantu, menggunakan sihir, percaya kepada kuasa keramat atau hal-hal khurafat yang lain.
Diertikan sebagai menduakan atau mempersekutukan Allah, masyarakat umum memandang perbuatan di atas sebagai tanda seseorang individu itu mempercayai adanya sesuatu kuasa setanding Allah, Tuan Semesta Alam yang dijadikan alternatif untuk meminta bantuan dan memakbukan sesuatu permintaan.
Bagi Millah Abraham, isu kemusyrikan bukanlah bersifat spiritual semata-mata. Ada skop yang lebih besar perlu dilihat agar kita dapat memahami mengapa Allah sangat benci kepada perbuatan syirik sehingga dosanya termasuk dalam kategori dosa yang tidak diampunkan berdasarkan Surah An-Nisa, ayat 48
اِنَّ اللّٰهَ لَا يَغْفِرُ اَنْ يُّشْرَكَ بِهٖ وَيَغْفِرُ مَا دُوْنَ ذٰلِكَ لِمَنْ يَّشَاۤءُ ۚ وَمَنْ يُّشْرِكْ بِاللّٰهِ فَقَدِ افْتَرٰٓى اِثْمًا عَظِيْمًا ٤٨
48. Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni (dosa) karena mempersekutukan-Nya (syirik), tetapi Dia mengampuni apa (dosa) yang selain (syirik) itu bagi siapa yang Dia kehendaki. Siapa pun yang mempersekutukan Allah sungguh telah berbuat dosa yang sangat besar.
(An-Nisa’/4:48)
Millah Abraham merujuk kepada kitab suci Al-Quran dan memahami bahawa maksud sebenar istilah musyrik sangat rapat dengan situasi kehidupan masyarakat hari ini.
Berdasarkan surah Ar-Ruum, ‘musyrik’ (orang-orang yang melaksanakan perbuatan syirik) didefinisikan sebagai situasi apabila manusia hidup dalam keadaan pecah-belah dan saling merasakan diri mereka lebih baik daripada yang lain.
مُنِيْبِيْنَ اِلَيْهِ وَاتَّقُوْهُ وَاَقِيْمُوا الصَّلٰوةَ وَلَا تَكُوْنُوْا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَۙ (٣١) مِنَ الَّذِيْنَ فَرَّقُوْا دِيْنَهُمْ وَكَانُوْا شِيَعًا ۗ كُلُّ حِزْبٍۢ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُوْنَ (٣٢)
(Hadapkanlah wajahmu) dalam keadaan kembali (bertobat) kepada-Nya. Bertakwalah kepada-Nya, laksanakanlah salat, dan janganlah kamu termasuk orang-orang musyrik, (31). (yaitu) orang-orang yang memecah-belah din mereka sehingga menjadi beberapa golongan. Setiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada mereka.. (32)
Ar-Rum/30:31-32
Pada penghujung ayat 31, Allah memberi amaran agar manusia tidak menjerumuskan diri dalam golongan musyrik.
Jika dibaca ayat ini sahaja, kita pasti akan tertanya-tanya siapa yang dikategorikan sebagai ‘musyrik’ oleh Allah.
Namun Allah tidak membiarkan soalan itu tergantung begitu sahaja. Ayat seterusnya (ayat 32) menyatakan golongan musyrik dapat dikenal pasti dengan perbuatan mereka sendiri iaitu:
- Hidup dalam keadaan sosial yang berpecah-belah berdasarkan kelompok dan tidak bersatu sebagai satu komuniti yang utuh
- Setiap kelompok merasakan kelompoknya lebih hebat, lebih pandai, lebih benar dan serba-serbi lebih baik daripada kelompok yang lain.
Kehidupan masyarakat yang berpecah-belah inilah yang dimaksudkan dalam surah An-Nisa ayat 48 di atas. Allah tidak akan mengampuni manusia selagi kita hidup dalam keadaan berpecah-belah.
Justeru, dapat kita simpulkan bahawa Allah sedang murka kepada manusia.
Maka tidak hairanlah walaupun tamadun hari ini telah mencapai tahap kemajuan sains, teknologi dan hidup serba moden dan maju, kita masih dihambat kerosakan dari aspek politik, ekonomi dan sosial yang tidak kunjung selesai.
Adakah kita mahu terus hidup dalam keadaan ini?
Sesuatu perlu dilakukan agar kita dapat keluar dari keadaan musyrik agar dapat diampuni oleh Allah.
Ini bukanlah satu perkara yang mustahil untuk dilakukan. Para rasul sebelum ini telah membuktikan bahwa masyarakat yang hidup dalam keadaan terkutuk dapat ditranformasi menjadi umat yang mendapat nikmat dan berkat dari Allah.
Syaratnya juga tidak susah. Manusia perlu mengenal dan memahami cara hidup yang fitrah berdasarkan Din Al-Islam yang ditetapkan Allah.
Manusia perlu mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah, mematuhi hukum yang ditetapkan-Nya serta ditadbir dengan sistem yang adil.
Inilah masanya untuk kita bertindak.