#Dasar Ajaran

Model Kehidupan Shiratal Mustaqim

Mencari jalan hidup yang benar adalah perjuangan bagi setiap insan. Tidak ada orang yang mahu hidup dalam satu bentuk model kehidupan yang salah dan merosakkan.

            Bagi kita yang hidup di zaman ini, terlalu banyak konsep hidup yang ditawarkan kepada kita. Ini menjadikan pandangan kita kabur tentang apakah kriteria yang harus kita fikir dan pertimbang dalam usaha membuat keputusan. 

            Tentunya sebagai golongan yang iman kepada Allah s.w.t, kita mahu memilih jalan hidup yang benar di mata Dia, Sang Pencipta alam semesta.

            Sayangnya, ramai yang tidak sedar bahawa persoalan ini sudah pun dijawab dengan jelas dalam kitab Al Quran.

            Di dalam surah pertama iaitu Al-Fatihah sudah dijelaskan tentang satu konsep yang dinamakan shiratal mustaqim.

            Dalam kepercayaan agama Islam, shiratal mustaqim merujuk kepada satu situasi yang akan dilalui selepas kematian iaitu ketika manusia dalam bentuk roh. Setiap orang perlu meniti satu jambatan yang sangat halus, ibarat rambut yang dibelah tujuh untuk masuk ke syurga.

            Bagi Millah Abraham, kami menyikapi pengertian shiratal mustaqim berdasarkan penjelasan yang telah pun diberikan dalam Al-Quran itu sendiri.

             Mari kita lihat ayat berkenaan shiratal mustaqim.

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦)

6. Tunjukilah kami jalan yang benar,

 (Al-Fatihah/1:6)

            Kemudian permohonan ini diperincikan pula dengan permohonan agar diberi nikmat seperti yang pernah diberikan golongan yang hidup sebelum mereka. Bahkan dimohon juga agar jangan diberikan model kehidupan yang maghdub (dimurkai) atau dhol (sesat).

صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ  (٧)

7.  (iaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. 

[Al Fatihah/1:7]

            Bagi manusia yang sedar, ini adalah satu bentuk doa yang dilafazkan oleh para pencari kebenaran.

            Pada era moden hari ini, kitalah manusia yang sedang mencari jalan hidup yang benar, justeru melafazkan doa ini kepada Allah s.w.t.

            Perkara yang menarik untuk diperhatikan pada ayat keenam surah Al-Fatihah ini adalah penggunaan perkataan ihdina. Elemen ‘na’ di sini datang daripada perkataan ‘nahnu’ yang bermaksud ‘kami’.

            Bagi Millah Abraham, sejarah membuktikan bahawa pada setiap zaman para mukmin bergerak dalam bentuk komuniti dan bukan secara individu. Ini selari dengan istilah kami yang digunakan dalam ayat di atas.

            Komuniti mukmin pencari kebenaran ini kemudiannya memohon kepada Allah s.w.t agar diberikan nikmat, iaitu shiratal mustaqim yang pernah diberikan kepada komuniti mukmin yang hidup pada zaman sebelum mereka.

            Di sini ada dua persoalan yang harus kita cari jawapannya;

            Pertama, siapakah komuniti mukmin yang pernah diberi nikmat shiratal mustaqim sebelum pada zaman sebelum kita?

            Kedua, apakah bentuk nikmat yang mereka kecapi apabila hidup berdasarakan konsep shiratal mustaqim?

            Untuk menjawab persoalan pertama, jawapannya ada dinyatakan dengan jelas dalam surah An-Nisa ayat 68 hingga 70.

وَلَهَدَيۡنَٰهُمۡ صِرَٰطٗا مُّسۡتَقِيمٗا  (٦٨)

  1. dan pasti Kami tunjuki mereka kepada shiratal mustaqim (jalan yang benar).

وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُوْلَٰٓئِكَ مَعَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ وَٱلصِّدِّيقِينَ وَٱلشُّهَدَآءِ وَٱلصَّٰلِحِينَۚ وَحَسُنَ أُوْلَٰٓئِكَ رَفِيقٗا  (٦٩)

  1. Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqin, para syuhada’, dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.

[An Nisa’/4:68-69]

            Setelah melihat kedua-dua ayat ini barulah kita faham bahawa shiratal mustaqim adalah jalan hidup yang telah ditempuh oleh golongan nabi, orang-orang yang benar (shiddiqin), orang yang telah bersaksi dan berjuang di jalan Allah (syuhada) serta golongan yang saleh.

            Apabila diperhatikan dengan lebih teliti, fahamlah kita bahawa golongan di atas adalah mereka yang mengabdikan seluruh kehidupannya untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

            Mereka adalah penegak hukum Allah di muka bumi ketika majoriti manusia sudah melupakannya.

            Mereka sanggup berjuang, berkorban harta dan nyawa demi menegakkan Din Al-Islam pada zaman masing-masing.

            Mereka inilah yang telah diberi shiratal mustaqim dan hasilnya, mereka dikurniakan nikmat oleh Allah s.w.t (‘anamallahu ‘alaihim).

            Pada zamannya, Nabi Muhammad s.a.w juga adalah pencari kebenaran dan ditunjukkan shiratal mustaqim.

قُلۡ إِنَّنِي هَدَىٰنِي رَبِّيٓ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ دِينٗا قِيَمٗا مِّلَّةَ إِبۡرَٰهِيمَ حَنِيفٗاۚ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ  (١٦١)

  1. Katakanlah: “Sesungguhnya aku telah ditunjuki oleh Tuhanku kepada shiratal mustaqim (jalan yang benar), (yaitu) din yang benar, Millah Ibrahim (Abraham) yang lurus, dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang musyrik”.

[Al An’am/6:161]

            Ternyata rupa-rupanya berdasarkan Al-Quran, shiratal mustaqim yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah Millah Abraham. (Pada topik lain kita akan bincangkan mengapa sosok Abraham diangkat oleh Allah sebagai figur yang penting dalam pengabdian kepada-Nya.)

            Sebagai kesimpulan untuk topik ini, dapat kita fahami bahawa konsep hidup yang benar sudah pun ditunjukkan oleh Allah di dalam kitab suci Al-Quran namun pemaknaan yang salah tentang konsep shiratal mustaqim telah menjauhkan manusia daripada pengertiannya yang sebenar.

            Sudah menjadi tugas kita yang hidup hari ini untuk mencari konsep hidup yang benar. Tiada konsep yang lebih benar selain daripada yang telah ditentukan pencipta seluruh alam yang Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi makhluk ciptaan-Nya.

            Sekiranya seseorang manusia menyedari bahawa dia hanyalah seorang hamba yang tidak punya daya atau kuasa melawan perintah Sang Pencipta, maka pastilah dia akan masuk ke dalam komuniti yang hidup atas jalan yang pernah dikurniakan kepada para nabi dan para pengikutnya.

            Ganjaran bagi mereka yang mengikuti shiratal mustaqim adalah kehidupan penuh nikmat seperti yang pernah dikurniakan kepada komuniti mukmin yang hidup pada zaman sebelum kita.

            Persoalannya, apakah bentuk nikmat yang dikurniakan?

            Kita sambung perbahasan dalam topik seterusnya.

 

Model Kehidupan Shiratal Mustaqim

Ancaman Perang Dunia Ketiga

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *