#Dasar Ajaran

Mengabdi, Bukan Menyembah

Millah Abraham bukanlah satu ajaran agama. Ia mengajak manusia tidak kira apa latar belakang pun untuk mengabdi kepada Allah, Tuan Semesta Alam.

Dalam konteks kehidupan hari ini, masyarakat beragama amat berpegang kepada konsep penyembahan. Setiap agama mempunyai cara sembahan masing-masing sebagai cara menunjukkan ketaatan kepada tuhan.

Tanpa menyentuh atau melarang masyarakat beragama daripada terus melaksanakan penyembahan mengikut cara masing-masing, Millah Abraham mengajak manusia untuk melihat sebentar kepentingan untuk memahami semula beza pengertian ‘menyembah’ dengan ‘mengabdi’.

Untuk itu, kita lihat semula kitab Al-Quran.

اِيَّاكَ نَعْبُدُ وَاِيَّاكَ نَسْتَعِيْنُۗ (٥)

5.  Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.

 (Al-Fatihah/1:5)

Merujuk kepada ayat di atas, perkataan ‘na’budu’ yang berasal daripada perkataan ‘abada secara bahasa membawa erti ‘pengabdi’.

Sekiranya kita fahami dengan jelas tentang ikatan dan hubungan antara manusia dengan Allah, pasti tidak ada sesiapa pun yang dapat menyangkal bahawa Allah adalah pencipta manusia dan seluruh alam semesta sementara manusia hanyalah makhluk kecil yang tiada daya dan tidak mampu berbuat apa-apa tanpa izin dari Sang Pencipta.

Allah adalah tuan, raja, penguasa, pemilik, dan pengatur kepada seluruh ciptaan-Nya.Dia adalah satu-satunya entiti yang harus dipatuhi, dicintai, dikagumi, dan ditaati oleh seluruh 8.2 billion populasi manusia di dunia ini tanpa seorang manusia pun terkecuali daripada tanggung jawab ini.

Atas sebab inilah surah Al-Fatihah menjelaskan manusia tidak mampu meminta sebarang pertolongan atau perlindungan daripada mana-mana makhluk dan harus kembali menjadikan Allah sebagai satu-satunya tempat berlindung.

Mengembalikan penterjemahan perkataan ‘abada, na’budu dan kata-kata terbitan daripada perkataan ini kepada ‘mengabdi’ dan bukan ‘menyembah’ akan dapat mengembalikan kesedaran manusia bahawa hubungan antara manusia dengan Allah adalah satu kontrak yang tidak boleh diputuskan.

Allah adalah Tuan kepada manusia. Manusia pula adalah hamba kepada Sang Tuan.

Sebagai hamba, manusia tidak boleh berbuat sesuatu semata-mata mengikut kehendak fikiran, hati dan perasaanya tanpa merujuk kepada perintah dan ketetapan yang telah ditentukan oleh Sang Tuan.

Segala perintah dan ketetapan tentang cara untuk hidup sebagai seorang hamba telah pun dicatatkan dengan indah di dalam kitab-kitab suci sebagai panduan hidup bagi seluruh manusia.

Atas sebab inilah Allah amat membenci manusia yang mengambil ciptaan-Nya yang lain sebagai tuan (ilah).

Ilah selain Allah boleh datang dalam pelbagai bentuk. Ada manusia mengabdikan diri kepada manusia lain, ada yang menjadikan dirinya sendiri sebagai ilah (Surah Al-Jasiyah [45]:23) dan ada yang memilih untuk hidup berlandaskan panduan hidup (hukum) selain daripada yang telah ditetapkan Allah di dalam kitab suci-Nya.

وَاَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَآ اَنْزَلَ اللّٰهُ وَلَا تَتَّبِعْ اَهْوَاۤءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ اَنْ يَّفْتِنُوْكَ عَنْۢ بَعْضِ مَآ اَنْزَلَ اللّٰهُ اِلَيْكَۗ فَاِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ اَنَّمَا يُرِيْدُ اللّٰهُ اَنْ يُّصِيْبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوْبِهِمْ ۗوَاِنَّ كَثِيْرًا مِّنَ النَّاسِ لَفٰسِقُوْنَ (٤٩)

49.  Hendaklah engkau memutuskan (urusan) di antara mereka menurut aturan yang diturunkan Allah dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu mereka. Waspadailah mereka agar mereka tidak dapat memperdayakan engkau untuk meninggalkan sebagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah berkehendak menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebagian dosa-dosa mereka. Sesungguhnya banyak dari manusia adalah orang-orang yang fasik.

اَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُوْنَۗ وَمَنْ اَحْسَنُ مِنَ اللّٰهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُّوْقِنُوْنَ ࣖ (٥)

50.  Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki? (Hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang meyakini?

 (Al-Ma’idah/5:49-50)

Sebagai hamba, selayaknya manusia melaksanakan pengabdian tunggal, yakni hanya mengabdi (taat) kepada Allah, Sang Tuan Yang Esa. Dia-lah satu-satunya yang mencipta, mengatur, dan menguasai alam semesta. Seluruh ciptaan Allah yang lain telah pun dan sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah dan ketetapan yang telah Allah tentukan.

Hanya manusia sahaja yang masih ingkar dan mahu hidup berdasarkan cara sendiri berlandaskan akal fikiran dan nafsunya. Akibatnya manusia menandingi Allah dengan mencipta panduan hidup di luar daripada garis yang telah Allah tetapkan.

Tidak hairanlah hari ini manusia hidup dalam keadaan cacamarba, kucar-kacir, penuh permusuhan dan sangat tertekan sehingga menimbulkan pelbagai penyakit jiwa.

Ini semua berlaku kerana manusia meninggalkan cara hidup fitrah untuk tunduk patuh kepada perintah Allah dan memilih untuk mencipta cara hidup sendiri yang kononnya indah.

Pengabdian kepada Allah sebagai Tuan adalah satu-satunya fitrah bagi hidup dari manusia yang telah menyadari hakikat dirinya sebagai hamba.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *