#Artikel

Benarkah Millah Abraham Mencampur Aduk Agama?

Millah Abraham bukan sebuah agama.

Penguasa agama menuduh Millah Abraham sebagai ajaran yang menggabungkan ajaran Yahudi, Nasrani, dan Islam yang disebut sebagai sinkretisme atau pluralisme agama. 

Mereka menganggap Millah Abraham sesat dan menyesatkan. Pandangan ini tidak benar sama sekali kerana Millah Abraham sebenarnya adalah dīn al-haqq. 

Millah Abraham adalah jalan kebenaran Allah yang diajarkan kepada Nabi Ibrahim dan diteruskan kepada generasi rasul-rasul selepas baginda. 

Ia adalah cara hidup yang lurus untuk umat yang mengimani Allah dan rasul-rasulNya agar menjadi komuniti yang diberkati Allah.

Sejarah ketamadunan manusia membuktikan bahawa komuniti yang membawa din al-haqq akan diberikan kekuasaan untuk mentadbir muka bumi menggunakan hukum Allah.

Kami juga menafikan fahaman umum yang mempercayai bahawa rasul-rasul yang diutuskan Allah membawa konsep ‘agama’ dalam perjuangan mereka.

Jika kita teliti sejarah secara faktual, agama Yahudi dan Kristian bukanlah agama yang dibawa oleh Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s. 

Yahudi mula muncul sebagai sebuah agama hanya selepas wafatnya Nabi Musa, manakala agama Kristian pula bukan berasal dari ajaran Nabi Isa, tetapi mula dikenali di Antiokhia, Turki, seperti disebut dalam Alkitab, Kisah Para Rasul 11:25-26. 

Secara fakta, Nabi Musa bukanlah seorang Yahudi, begitu juga Nabi Isa bukanlah seorang Kristian. Nabi Ibrahim a.s juga jelas bukan Yahudi atau Nasrani, seperti yang tertulis di dalam Al-Quran, surah Ali-Imran ayat 65 hingga 68.

Komuniti Millah Abraham menolak tuduhan yang mengatakan kami sebagai ajaran yang musyrik, sinkretisme atau pluralisme kerana ia Millah Abraham.

Al-Quran telah menerangkan dengan jelas bahawa ia adalah ajaran Islam hanif yang lurus, ia tidak bercampur dengan ajaran atau ideologi lain. 

Tidak cukup dengan itu, Al-Quran turut menjelaskan secara muhkamat bahawa Nabi Muhammad membuat pengakuan bahawa baginda adalah pengikut ajaran Millah Abraham/Ibrahim seperti yang tertera dalam surah Al-An’am ayat 161.

Oleh itu, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk mengatakan bahawa Millah Abraham adalah gabungan ajaran Yahudi, Kristian, dan Islam.

Millah Abraham mengakui kitab Taurat dan Injil sebagai wahyu yang diturunkan kepada para Rasul-Nya, dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada keimanan Islam hanif. 

Al-Quran sendiri tidak melarang umat Islam mempelajari kitab-kitab tersebut, malah Nabi Muhammad diperintahkan untuk merujuk kepada ahli kitab jika timbul sebarang keraguan, seperti disebut dalam surah Yūnus ayat 94.

Generasi Millah Abraham mengimani semua kitab Allah dan Rasul tanpa membeza-bezakan, termasuk Taurat, Injil, dan Al-Quran, tetapi ini tidak bermaksud mencampur adukkan ajaran agama-agama tersebut. 

Kami tidak bermusuh dengan kaum Yahudi atau Nasrani atau umat Islam, tetapi menyeru mereka untuk kembali menegakkan hukum Allah seperti yang diajarkan oleh para nabi dan rasul.

Millah Abraham tidak membawa misi agama tertentu, tetapi menggunakan panduan yang tertulis dalam kitab-kitab suci sebagai panduan dalamusaha menegakkan sistem hukum Allah di bumi. 

Oleh itu, tiada asas bagi mana-mana pihak untuk menuduh pengikut Millah Abraham sebagai penyebar ajaran sesat atau menistakan agama yang diakui di Malaysia dan Indonesia. 

Kami hanya ingin memperjuangkan tegaknya kebenaran sejati seperti yang telah diperjuangkan oleh para Rasul-Nya.

Benarkah Millah Abraham Mencampur Aduk Agama?

Konsep Semua Rasul Adalah Muslim

Benarkah Millah Abraham Mencampur Aduk Agama?

Mengabdi, Bukan Menyembah

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *