Konsep Semua Rasul Adalah Muslim
Istilah “Muslim” dalam erti yang sebenar merujuk kepada sesiapa sahaja yang tunduk dan patuh kepada sistem hukum Allah. Ia berasal daripada perkataan Arab “aslama,” yang bermaksud menyerah diri atau tunduk.
Dengan kata lain, “Muslim” bukan hanya terhad kepada pengikut Nabi Muhammad, tetapi juga kepada semua makhluk yang taat kepada hukum Allah, termasuk mereka yang hidup sebelum zaman Nabi Muhammad s.a.w.
Dalam tafsir Rashīd Riḍā, Muslim sejati adalah mereka yang ikhlas dalam beramal dan tidak mempersekutukan Allah, walaupun bukan beragama Islam secara formal.
Ini bermakna, seseorang yang mengaku beragama Islam tetapi tidak mengikuti hukum Allah sebenarnya tidak dianggap sebagai Muslim yang sebenar.
Al-Quran juga menyebut banyak contoh mengenai nabi-nabi terdahulu seperti Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s, Nabi Yusuf a.s, dan Nabi Isa a.s, serta umat-umat mereka sebagai Muslim kerana mereka semua tunduk kepada kehendak Allah.
Terdapat pelbagai kisah rasul di dalam Al-Quran yang menggunakan istilah ‘muslim’ kepada umat yang hidup sebelum diutusnya Nabi Muhammad.
Antaranya termasuklah kisah Nabi Ibrahim yang menyeru keturunannya untuk tidak mati melainkan dalam keadaan muslim, Nabi Musa mengarahkan umatnya bertawakkal kepada Allah sebagai bukti kemusliman mereka, dan Ratu Balqis yang mengakui dirinya Muslim setelah bertemu dengan Nabi Sulaiman.
Contoh di atas hanyalah sebahagian kecil bukti untuk menunjukkan bahawa konsep ‘Muslim’ dan ‘Islam’ sudah wujud sejak ribuan tahun sebelum kedatangan Nabi Muhammad.
Justeru, dapat kita fahami bahawa istilah “Muslim” merujuk kepada sesiapa sahaja yang tunduk kepada hukum Allah, bukan terhad kepada satu agama atau tempoh masa tertentu.
Apabila kita sudah faham konsep di atas, dapatlah juga kita fahami bahwa istilah ‘Islam’ juga tidak boleh dilihat sebagai sekadar agama dengan ritualnya sahaja.
Islam adalah sistem hidup yang mencakupi semua aspek kehidupan. Ia dicipta oleh Allah untuk ditaati oleh semua makhluk di alam semesta.
Setiap makhluk, baik yang hidup mahupun yang tidak hidup, secara semulajadi tunduk kepada sistem ini. Namun, satu-satunya makhluk yang diberi pilihan untuk taat atau ingkar kepada hukum Allah adalah manusia.
Penegasan ini membuktikan bahawa sistem hidup yang dicipta oleh Allah adalah satu-satunya sistem yang benar, dan semua makhluk-Nya, termasuk manusia, perlu tunduk dan patuh kepadanya.
Tindakan menafsirkan Islam sekadar sebagai agama ritual akan memesong dan mengurangkan fungsinya sebagai sistem hidup yang lengkap.
Dengan memahami Islam sebagai sebuah din (sistem hidup), kita akan menyedari bahawa Din Al-Islam adalah aturan Allah yang universal, merangkumi semua aspek kehidupan dan relevan kepada semua zaman dan tempat.
Kesimpulannya, istilah ‘Muslim’ tidak hanya eksklusif kepada pengikut Nabi Muhammad atau umat Islam masa kini sahaja.
Ia adalah istilah universal yang merujuk kepada sesiapa sahaja yang menyerah diri dan tunduk kepada sistem hukum Allah, dari zaman Nabi Adam hingga kini.
Ini bermakna, kepatuhan kepada sistem Islam adalah jalan hidup yang dikehendaki oleh Allah untuk seluruh ciptaan-Nya, dan ia tetap relevan sepanjang masa dan zaman.