Konsep Asas Ajaran Millah Abraham
Majoriti ahli agama berpendapat dan percaya bahawa setiap Rasul Allah membawa agama atau sistem hukum yang baru dan berbeza daripada Rasul sebelumnya, sekaligus menggantikannya dengan yang lebih sempurna.
Sebagai contoh, apa yang Allah wahyukan kepada Nabi Abraham@Ibrahim berbeza dengan apa yang diwahyukan kepada Nabi Musa.
Majoriti komuniti agama samawi masih percaya bahawa wahyu kepada Nabi Musa tidak sama dengan yang diwahyukan kepada Nabi Isa al-Masih, dan seterusnya, apa yang diajarkan kepada Nabi Muhammad adalah ajaran yang lebih sempurna daripada ajaran para Rasul sebelumnya.
Kalaupun ada persamaan antara ajaran para Nabi dan Rasul, ia dianggap sebagai satu persamaan dari aspek konsep teologi di mana semuanya sama-sama beriman kepada Allah, Tuhan Semesta Alam.
Namun dari aspek perlaksanaan, ketiga-tiga agama ini mempraktikkan ajaran Allah dengan cara yang berbeza.
Tambah parah, setiap satu agama merasakan bahawa merekalah yang lebih benar berbanding agama samawi yang lain.
Di mata masyarakat umum, mereka berlakon seolah-olah sboleh hidup bersama dan bersetuju tentang konsep iman kepada Allah mengikut fahaman masing-masing.
Tetapi di rumah ibadat masing-masing, mereka saling mengecam, memburukkan dan saling mengkafirkan antara satu sama lain.
Jika kita berfikir menggunakan akal yang sihat, doktrin agama ini boleh dipersoalkan kerana tiada asas kewahyuan yang kukuh.
Bukankah semua Rasul Allah diutus untuk tujuan yang sama, iaitu untuk mengembalikan manusia kepada fitrah asal mereka, menjadi hamba kepada Allah, Tuhan yang satu?
Allah mencipta manusia dengan tujuan tertentu supaya manusia menjalankan fungsi mereka mengikut kehendak dan perintah-Nya.
Setiap Rasul diutus membawa petunjuk dan sistem hukum yang benar (din al-haqq) untuk membimbing manusia kembali kepada cara hidup yang betul (fitrah) apabila mereka menyimpang dan mengikut sistem hidup yang batil.
Objektif ini tertera dalam firman Allah dalam surah Ash-Shaf (61:9): Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar untuk memenangkannya atas semua agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.
Pada hakikatnya, semua ajaran yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul dari masa ke masa adalah ajaran Allah yang sama, tidak pernah berubah atau berkembang dari tidak sempurna kepada sempurna.
Persamaan ajaran ini bukan sahaja dalam aspek keimanan kepada Allah tetapi juga dalam hal hukum, syariat, dan ibadah.
Kebenaran yang sejati berasal daripada Allah, dan ciri-ciri kebenaran itu ialah ia tidak pernah berubah mengikut masa dan tempat.
Sistem kehidupan yang benar (dīn al-qayyim), seperti Millah Abraham yang hanif (lurus dan murni), telah dipegang oleh semua Nabi dan Rasul sejak zaman Nabi Adam hingga Nabi Muhammad dan seterusnya pada era ini oleh generasi Millah Abraham.
Para Rasul, Nabi, serta orang-orang yang jujur, syahid, dan soleh adalah golongan manusia yang telah menerima nikmat dari Allah. Mereka bukanlah orang yang berada di jalan yang sesat atau dimurkai.
Cara hidup mereka dapat ditelusuri dalam sejarah para Nabi dan Rasul sebagaimana diceritakan dalam Kitab Taurat, Injil, dan Al-Quran. Kesemua mereka semua berpandukan ajaran Millah Abraham, iaitu sistem kehidupan yang benar.
Ajaran Millah Abraham bukan sesuatu yang baru, tetapi adalah ajaran yang telah diikuti oleh semua Nabi dan Rasul, termasuk Nabi Muhammad.
Kehadiran generasi Millah Abraham di Nusantara bukanlah untuk memperkenalkan agama baru, tetapi untuk meneruskan misi Tuhan Semesta Alam dan mengajak manusia kembali kepada din Allah yang sejati, iaitu Millah Abraham yang hanif, atau Islam Hanif.
Seterusnya, mari kita teliti secara mendalam apa itu Millah Abraham, beserta ajaran-ajaran dasarnya yang difahami dan diyakini oleh setiap pengikut atau generasi Millah Abraham.
Batara
09th Nov 2024Luar biasa, semoga website ini bisa menjadi sarana untuk memberikan informasi dan edukasi kepada umat manusia akan kebenaran Millah Abraham sebagai konsep Jalan Kebenaran Sejati.